Ayuh Bina Syurga Dunia
Hidup berkeluarga sememangnya diimpikan
oleh setiap umat Islam yang beriman. Mempunyai suami dan isteri yang
dicintai di sisi adalah keinginan fitrah manusia. Setelah sahnya ijab
dan kabul, maka bermula hidup berkeluarga yang penuh dengan warna dan
serinya.
Selain daripada kebahagiaan yang
dikecap, kita seharusnya mempersiapkan diri dengan cabaran dan ujian
dalam hidup yang serba baru itu. Jika dahulu kita hidup dengan suasana
bebas untuk melakukan sesuatu, tidak terikat dengan seseorang selain
keluarga namun selepas berkahwin tiada lagi istilah hidup bujang.
Tanggungjawab terhadap keluarga bermula
sebaik sahaja seseorang itu dikahwinkan. Bermulanya tanggungjawab
terhadap isteri, mahupun suami sehinggalah kepada anak-anak. Berkahwin
dan berkeluarga amat disukai Rasulullah S.A.W.
Baginda juga menyarankan agar mempunyai
anak yang ramai bagi pasangan yang baik kerana dengan lahirnya ramai
anak, maka lahirlah ramai penerus dan penyebar syiar Islam. Menjaga
keluarga telahpun diperintahkan secara terus dari Allah S.W.T kepada
kita semua. Firman Allah S.W.T:
“Wahai orang-orang yang beriman!
Peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya
adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, dan
keras, yang tidak derhaka kepada Allah terhadap apa yang diperintahkan
kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan.” (Surah
At-Tahrim: 6)
“Anak yang ramai bukan semuanya jadi orang alim pun.”
Ini antara nada sinis berbaur negatif
yang selalu menjadi “mind set” kebanyakan daripada kita. Kenapa tidak
anak-anak menjadi soleh dan solehah? Anak-anak yang soleh solehah inilah
yang akan mendoakan kesejahteraan ibu dan bapanya di alam kubur kelak.
Doa mereka akan sentiasa mengiringi orang tuanya meskipun mereka telah
meninggal dunia. Bukankah anak soleh dan solehah itu suatu kelebihan dan
anugerah buat ibu dan bapa?
Dari Abu Hurairah R.A bahawa Nabi Muhammad S.A.W bersabda:
“Apabila seorang anak Adam mati putuslah
amalnya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang memberi
manfaat kepada orang lain, dan anak yang soleh yang berdoa untuknya.”
(Riwayat Muslim)
Menghidupkan suasana Islam dalam
keluarga atau biah solehah adalah seruan yang dituntut buat kita semua
para suami, isteri, dan sesiapa yang bakal berada di alam rumah tangga
ini. Jika sejak dari mula perkahwinan “mode Islam” itu diaktifkan,
keluarga akan lebih cenderung dan akrab dengan Islam. Adalah wajib untuk
mengajar anak-anak ilmu fardhu ain seperti akidah, ibadah, akhlak,
serta syariat-syariat Islam yang lainnya.
Jangan bimbang andai tiada harta dunia
tetapi bimbanglah andai tiada roh agama dalam keluarga. Taburkan kasih,
dan cinta kita kepada pasangan hidup serta anak-anak dengan mencurahkan
syariat agama Islam, bukan disuap dengan harta, kebebasan dan
keseronokan yang fana. Rasulullah S.A.W bersabda :
“Setiap anak itu dilahirkan dalam
keadaan fitrah (suci dan bersih), kedua ibu bapanyalah yang
menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Kita bukan lahir dalam keluarga alim
ulama’, bukan dari keluarga wali-wali Allah dan bukan pula dari kalangan
mufti-mufti yang benar. Kebanyakan kita adalah orang awam dan biasa.
Pun begitu, tidak mustahil bagi kita
mewujudkan keluarga yang mencontohi para alim ulama’ dan orang-orang
yang dekat denganNya. Setidak-tidaknya kita mencuba, dan
sekurang-kurangnya kita menjalankan tanggungjawab dalam berkeluarga.
Ayuh, bina syurga dunia dengan Islam. Le’ts turn on Islamic mode in our family!
- Artikel iluvislam.com
Salam ukhwah sekencang dakwah...............

No comments:
Post a Comment