Assalamualaikum dan salam sejahtera..........
Hari ini kita akan melihat tentang kepentingan pertanian kepada negara kita.Pertanian juga adalah salah satu daripada perkara yang penting kepada manusia.haiwan dan alam sekitar.
kemajuan pertanian di malaysia
Sektor pertanian sememangnya merupakan sektor yang terpenting bagi
negara-negara membangun seperti Malaysia. Malah ia merupakan antara ciri
terpenting yang membezakan status antara negara-negara membangun dan
negara-negara maju. Sektor ini jugalah yang telah menyumbang kepada asas
pembentukan ekonomi Malaysia di dalam era selepas merdeka yang mana
pada masa tersebut, majoriti penduduk tertumpu kepada aktiviti ekonomi
berasaskan pertanian dan perlombongan.
Namun, dengan kepesatan pembangunan dan kemajuan negara, sektor
pertanian beransur-ansur dipandang sayu. Para petani juga tidak lagi
berminat menjalankan kerja-kerja tani yang dahulunya pernah menjadi
pekerjaan turun-temurun. Lebih parah, generasi pelapis yang diharapkan
akan meneruskan pekerjaan turun-temurun itu lebih berminat berhijrah ke
bandar-bandar besar mencari pekerjaan yang lebih ´bermaruah´ dan
menawarkan pendapatan yang lebih tinggi dan terjamin dalam sektor
perindustrian.
Hal
ini kerana imej pekerjaan di sektor perindustrian dilihat lebih tinggi
dan memiliki kemudahan sosial yang lebih baik. Peluang membaiki taraf
ekonomi melalui pendapatan di sektor perkilangan dan perkhidmatan lebih
terjamin. Sebaliknya, pendapatan di sektor pertanian tidak stabil.
Penghijrahan tenaga buruh dari sektor pertanian ke sektor bukan
pertanian ini mengakibatkan kekurangan tenaga buruh di sektor pertanian.
Malah, bilangan ladang di Semenanjung Malaysia yang mengalami masalah
tenaga buruh turut meningkat tahun demi tahun.
Kekurangan tenaga buruh yang mendesak menyebabkan ramai pekerja asing
dibawa masuk. Di antara tahun 2001-2003 sahaja, seramai 19,343 buruh
asing tambahan telah diambil bekerja dalam sektor pertanian (termasuk
sektor peladangan). Lebih parah, petani asal yang tinggal adalah terdiri
daripada petani yang sudah tua dan uzur. Berdasarkan satu kajian yang
telah dijalankan oleh Kementerian pada tahun 2002/2003, 39% daripada
petani yang ditemubual berumur lebih dari 55 tahun.
Selain daripada faktor penghijrahan ini, antara masalah yang dihadapi
oleh sektor pertanian kini ialah saiz ladang yang berskala kecil dan
tidak ekonomik. Saiz tanah yang tidak ekonomik menyebabkan produktiviti
dan kos pengeluaran yang tinggi.
Kajian yang dijalankan mendapati 65% pesawah padi mengusahakan sawah
yang bersaiz kurang dari satu hektar. Sub-sektor pengeluaran makanan
pertanian juga terpaksa bersaing dengan sektor perladangan untuk
mendapatkan tanah yang baik. Umpamanya, sektor perladangan sahaja
menguasai 83% daripada 6.36 juta hektar tanah yang bertanam.
Di samping saiz tanah yang kecil dan tidak ekonomik, terdapat beberapa
faktor lain yang mempengaruhi daya pengeluaran yang rendah dan kos
purata yang tinggi di sub-sektor pekebun kecil. Pertama ialah kekurangan
tenaga buruh yang berpelajaran, produktif dan cekap.
Kekurangan ini akan menyebabkan perancangan yang baik dan pengurusan
yang cekap tidak dapat dilaksanakan. Juga, petani yang kurang pendidikan
akan menghadapi masalah kekurangan modal kerana mereka sukar
memperolehi kredit daripada institusi kewangan. Untuk mendapatkan
kredit, mereka terpaksa memenuhi syarat dan keperluan yang kompleks yang
ditetapkan oleh institusi berkenaan.
Kekurangan modal pula merupakan penghalang untuk mereka menyerap
teknologi moden, terutamanya menanam semula tanaman getah yang telah tua
dengan baka benih atau klon yang tinggi daya pengeluarannya dan lumayan
hasilnya. Sebabnya untuk menanam semula, petani terpaksa menunggu
sekurang-kurangnya empat tahun untuk mendapatkan hasil. Dalam tempoh
tersebut, mereka tidak mempunyai sebarang sumber pendapatan semasa lagi.
Dengan itu, walaupun teknologi moden berpotensi memberikan manfaat yang
besar, mereka tidak berkemampuan untuk menerimanya.
Disebabkan kekurangan pengetahuan tentang teknologi moden, kebanyakan
petani tidak mengguna baka benih atau klon yang berdaya pengeluaran
tinggi yang terkini, tidak menggunakan baja dan bahan kimia secara
optimum dan betul, tidak melaksanakan pembaik pulih tanah dan
mengamalkan adat dan budaya tradisi yang tidak mendorong ke arah
memperoleh daya pengeluaran yang tinggi.
Selain daripada itu, negara juga menghadapi masalah kekurangan benih di
sektor-sektor kecil tertentu. Bagi sektor sayur-sayuran umpamanya, 95%
benih yang diperlukan adalah diimport dari Thailand, Taiwan, China,
Australia dan lain-lain lagi. Benih buah-buahan seperti benih hybrid
tembikai yang berhasil tinggi pula perlu djimport dari luar negeri
seperti Taiwan. Harga benih hybrid ini agak tinggi dan mengakibatkan
peningkatan kos pengeluaran. Negara juga perlu mengimport 25% benih ikan
untuk menampung keperluan semasa.
Dari segi pelaburan swasta dalam sektor makanan, ianya lebih rendah jika
dibandingkan dengan pelaburan di dalam sektor pembuatan atau sektor
perladangan. Ini kerana masih wujudnya persepsi bahawa sektor pertanian
mundur dan memberi pulangan yang kurang berbanding sektor lain.
Selain daripada itu, sektor pengeluaran makanan juga memerlukan usaha
lebih intensif berbanding dengan sektor-sektor lain. Sebagai usaha untuk
memodenkan sektor pertanian dan meningkatkan ladang sedia ada kepada
ladang berskala komersil, Kerajaan perlu menggalakkan lebih banyak
syarikat swasta yang besar untuk menceburi sektor pengeluaran makanan.
Liberalisasi perdagangan di bawah WTO dan AFTA juga akan menyebabkan
hasil pertanian negara menghadapi persaingan lebih sengit daripada
negara-negara pengeluar yang lain yang mempunyai kelebihan kos
pengeluaran yang rendah. Lambakan hasil pertanian dijangka akan berlaku
apabila sekatan bukan tarif di negara-negara ahli yang mempunyai kos
pengeluaran lebih tinggi dihapuskan.
Import makanan negara turut meningkat setiap tahun kesan dari
pertambahan bilangan dan taraf hidup penduduk. Pada tahun 1996, import
makanan (termasuk makanan ternakan) dan input pertanian adalah RM10.5
bilion berbanding dengan RM4.6 bilion pada 1990. Pada tahun 1997
(Januari-Oktober) importnya adalah RM9.1 bilion.
Kenaikan permintaan makanan membawa kepada kenaikan harga makanan. Pada
1996, kenaikan harga makanan menyumbangkan 57% daripada kenaikan Indeks
Harga Pengguna. Kejatuhan ringgit sejak Julai 1997 sebanyak 40% (RM2.6
kepada RM3.6 sedolar) telah meningkatkan kos import makanan dan input
pertanian.
Malaysia mengalami defisit dalam perdagangan makanan (termasuk makanan
binatang) dan input pertanian. Ini bermakna terdapat lebihan aliran
keluar wang negara bagi membiayai import. Pada tahun 1996 eksportnya
adalah sebanyak RM4.2 bilion, dan pada 1997 (Januari-Oktober 1997)
adalah RM4.5 bilion. Ini bermakna defisit dalam perdagangan makanan dan
input pertanian ialah RM6.3 bilion pada 1996, dan RM4.6 bilion pada
1997.
Krisis kewangan telah menyedarkan Malaysia akan perlunya peningkatan
dalam aspek keselamatan makanan negara melalui pengeluaran makanan
sendiri dan menyusun strategi bagi mengurangkan pergantungan makanan
dari negara lain. Juteru, di sinilah sektor pertanian memainkan peranan
pentingnya.
TRANSFORMASI SEKTOR PERTANIAN
Sektor pertanian dan industri asas tani perlu mengalami transformasi
untuk menjadikan sektor ini lebih moden, dinamik dan berdaya saing.
Justeru, kerajaan di bawah kementerian yang berkaitan melihat
usaha-usaha berikut sebagai jalan penyelesaiannya:
(i) Transformasi Ladang
Saiz tanah yang tidak ekonomik menyebabkan produktiviti dan kos
pengeluaran yang tinggi. Program untuk memperolehi faedah berskala
seperti projek kelompok, pemuliharaan tanah terbiar secara
estet/kelompok, Taman Kekal Pengeluaran Makanan dan Projek 10 Tan Padi
telah pun dilaksanakan. Dalam skim-skim ini, Amalan Pertanian Baik (Good
Agriculture Practices) digalakkan supaya keluaran pertanian yang
dihasilkan adalah berkualiti dan selamat dimakan. Program Plantation
Integration Areas (TAC) juga dilaksanakan bagi mengoptimumkan penggunaan
kawasan perladangan bagi menjanakan hasil sampingan dengan ternakan
lembu.
(ii) Transformasi Tenaga Buruh Kepada Penggunaan Mekanisasi, Otomasi dan Teknologi
Negara perlu meningkatkan tahap dan proses pengeluaran daripada yang
bergantung berat kepada tenaga buruh kepada berintensifkan modal,
teknologi dan berasaskan ilmu pengetahuan. Program pemindahan teknologi
dan cara tanaman yang baru bagi meningkat produktiviti telah
dilaksanakan. Ini termasuk program inkubator dan belia tani bagi
melahirkan usahawan tani, program fertigasi tanaman pertanian, dan
sistem ternakan ayam secara tertutup (closed house system). Di dalam
pembangunan perikanan pula, usaha bagi meningkatkan tahap teknologi
dilaksanakan melalui program pen culture, akuakultur secara nukleus,
open sea cage culture dan mengurangkan kehilangan hasil akibat ´post
harvest´.
(iii) Pengurusan Ladang Yang Moden
Program latihan dan kemudahan akan dipertingkatkan bagi memastikan
peladang dibekalkan dengan kemahiran teknikal dan teknologi bagi
meningkatkan produktiviti manakala pakar-pakar dan pekerja yang terlibat
dalam aktiviti bimbingan dan latihan dilengkapkan dengan pengetahuan
dan kepakaran bagi membantu masyarakat tani. Untuk mencapai tujuan ini,
Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani sedang berusaha
meningkatkan khidmat pengembangan dan khidmat nasihat teknikal.
Inkubator-inkubator bagi memberi latihan tambahan juga telah dibina untuk memberi latihan kepada golongan sasar di ladang sebenar.
Inkubator-inkubator bagi memberi latihan tambahan juga telah dibina untuk memberi latihan kepada golongan sasar di ladang sebenar.
(iv) Daya saing Lebih Tinggi
Kualiti produk yang rendah dan tidak seragam menyebabkan hasil pertanian
negara tidak dapat bersaing di pasaran global. Dengan harga yang tinggi
di pasaran domestik dan jangkaan lambakan hasil pertanian dari luar
negara yang lebih murah berikutan pembukaan pasaran di bawah pelaksanaan
WTO dan AFTA, hasil pertanian negara akan menghadapi persaingan yang
tinggi. Sehubungan itu, hasil pertanian negara perlu berkualiti dan
mematuhi piawaian keselamatan makanan antarabangsa bagi membolehkan
hasil pertanian dieksport mahupun dipasarkan di dalam negara. Konsep
jaminan kualiti daripada ladang ke meja hidang akan diamalkan secara
meluas melalui skim akreditasi serta kawalselia dan pemeriksaan
veterinar yang ketat di ladang ternakan, kilang makanan haiwan, rumah
penyembelihan, kilang pemprosesan, stesen kuarantin dan setiap pintu
masuk ke dalam negara.
(v) Mempelbagaikan Pulangan Pelaburan
Masalah pulangan terhadap pelaburan yang rendah dan lambat dapat diatasi
dengan memberi tumpuan kepada aktiviti integrasi tanaman-ternakan,
intercropping, mixed farming dan juga marinovasi. Aktiviti pemprosean
hiliran juga merupakan satu usaha untuk mempelbagaikan aktiviti ekonomi
masyarakat tani dan menambahkan pendapatan mereka dalam mengeluarkan
produk yang diproses yang mempunyai nilai tambah yang tinggi.
(vi) Pengezonan (zoning)
Selaras dengan pendekatan pembangunan pertanian berasaskan produk,
pembangunan secara sektoral melalui pengezonan kawasan pengeluaran
pertanian akan dilaksanakan. Ini bertujuan bagi membolehkan pembangunan
pertanian secara kelompok dapat dihasilkan supaya faedah perbandingan
(comparative advantage) diperolehi. Zon-zon pengeluaran ini termasuklah
zon perindustrian akuakultur (ZIA), zon-zon tanaman, zon-zon pengeluaran
ternakan dan kawasan integrasi ladang (TAC). Perlaksanaan zon-zon ini
akan membolehkan para pengusaha meningkatkan hasil mereka kerana keadaan
agro-klimatik yang sesuai untuk aktiviti tertentu. Selain daripada itu,
ia juga membolehkan kerajaan menumpukan khidmat sokongan mengikut jenis
aktiviti pertanian yang dilaksanakan di kawasan tertentu.
(vii) Insentif Untuk Projek Pengeluaran Makanan
Kerajaan juga menyediakan insentif istimewa bagi projek pengeluaran
makanan seperti yang diperuntukkan di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967.
Di bawah insentif ini, syarikat-syarikat yang mengusaha atau melabur
dalam projek pengeluaran makanan layak mendapatkan insentif khas selain
daripada insentif-insentif lain seperti taraf perintis, insentif untuk
menggalakkan eksport dan sebagainya.
(viii) Latihan
Pusat Latihan Pertanian Negara dipertanggungjawabkan bagi merancang,
menyelaras dan menilai program latihan kemahiran selaras dengan Standard
Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (NOSS) bagi melahirkan pekerja dan
usahawan tani yang berpengetahuan dan berkemahiran. Selain daripada itu,
Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani juga sedang membina Kolej
Pertanian di Kedah di samping meningkatkan taraf 40 institusi sedia ada
supaya dapat memberikan latihan yang lebih baik kepada golongan sasar.
(ix) Kemudahan Infrastruktur
Sebagai usaha untuk meningkatkan khidmat sokongan kepada sektor
pertanian, kerajaan juga sedang berusaha meningkatkan kemudahan
infrastruktur serta khidmat sokongan di sektor pertanian. Dalam hal ini,
kemudahan-kemudahan seperti saliran dan pengairan serta jalan ladang
akan diperbaiki dan dipertingkatkan dari masa ke semasa. Selain daripada
itu, kemudahan pemasaran seperti pusat pengumpulan dan pengedaran
produk pertanian juga disediakan. Tujuannya ialah untuk meningkatkan
keberkesanan rangkaian pemasaran produk pertanian dari ladang ke
pasaran.
Walaupun peruntukan yang besar diperlukan oleh sektor pertanian,
kedudukan dan sumbangannya terhadap ekonomi negara tidak dapat
disangkal. Justeru, mengekal dan memeliharanya merupakan langkah yang
sangat bijak oleh kerajaan disamping dapat memastikan bekalan makanan
sentiasa mencukupi bagi umat warganegara khasnya dan warga dunia amnya
yang semakin bertambah.
Sekian
Salam Ukhwah Sekencang Dakwah...........

No comments:
Post a Comment